Thursday 9 June 2011

SAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT

Semalam petang Comel Sayang demam dan merengek jer. Bagi susu, bagi makan dia tak nak, menangis jer...

Aku dan Sayang bawak Comel Sayang g klinik, doktor cakap anak aku kene sakit mulut, kaki dan tangan...berderau darah, berdegup laju jantung ni. Aku pun tanya bahaya tak sakit ni. Doktor cakap tak bahaya dan aku perlu bagi Comel Sayang makan aiskrim, air sejuk - segala yang sejuk2 lah utk memberi kelegaan kat mulut  -

Malam tadi Comel Sayang dapat tido sekejap pastu menangis lagi. Ubat dh bagi dah. Aku pujuk2, bagi susu, habis Comel Sayang minum lepas tu dapatlah tido sampai pagi. Aku dgn Sayang kejer hari ni. Nak tinggal sayu jer hati tapi disebabkan kejer, aku kuatkan hati gak huhuhu...

Kawan2 d bagi petua iaitu makan aiskrim vanilla dan aku dah mintak tolong abah untuk belikan...

Tadi telefon abah, abah cakap panas dah xde tinggal sakit mulut jer tu menangis tak berenti

Aku rindukan anakku yang ceria, suka bercakap, suka bergurau, suka menyanyi....

Anakku, cepat sembuh ye..Ibu sayang kamu...


Mari kita berkongsi pengetahuan tentang sakit Tangan, Kaki dan Mulut.
( Sumber dari Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan  Malaysia )





Definisi

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut adalah penyakit yang biasa berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak. Biasanya terdapat lepuhan di mulut, tapak tangan, jari-jari tangan dan tapak kaki.

Sebab-sebab
Disebabkan oleh virus enterovirus. Virus yang biasanya menyerang adalah coxsackievirus A16.

Tanda-tanda dan gejala
  • Demam yang ringan
  • Rasa tidak sihat (letih dan lesu)
  • Sakit tekak
Selepas demam selama 2-3 hari, lepuhan yang menyakitkan mula terdapat di dalam mulut. Biasanya terdapat di atas lidah, gusi dan di sebelah dalam pipi. Ruam di kulit mula keluar di satu dua tempat dengan timbulnya lepuhan warna merah tetapi tidak gatal di tapak tangan dan tapak kaki serta juga di punggung. Lepuhan di mukosa dan permukaan kulit akan sembuh dalam masa 5-7 hari. Manakala lepuhan di tangan dan kaki akan sembuh dalam masa 5-10 hari.

Siapa yang mudah dijangkiti?

Kebanyakannya berjangkit kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.
Adakah penyakit ini berjangkit?

Ya. Ianya mudah merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui sentuhan secara langsung (direct contact) dengan lelehan air hidung, tekak, air liur dan cecair dari lepuhan juga daripada najis individu yang telah dijangkiti. Ianya bukan sahaja mudah merebak terutama di awal jangkitan, tetapi juga boleh merebak selepas beberapa minggu di jangkiti.

Bolehkah penyakit tangan, kaki dan mulut berjangkit daripada haiwan?

Tidak, ia tidak sama dengan penyakit kaki dan mulut pada haiwan.

Bagaimana diagnosis dijalankan?

Selalunya ia dilakukan secara klinikal. Ujian ?throat swab?? ataupun daripada najis individu yang dijangkiti dihantar untuk ujian makmal bagi menentukan virus yang menyebabkan penyakit ini.

Rawatan
Tiada rawatan yang khusus.
  • Ubat demam (Paracetamol) digunakan untuk mengurangkan demam
  • Air garam digunakan untuk berkumur. Bancuhan: ½ sudu teh garam untuk segelas air suam sekiranya kanak-kanak tersebut boleh berkumur
  • Pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya
  • Produk tenusu yang sejuk dan aiskrim juga boleh diberi
Pencegahan
  • Boleh dicegah dengan mengamalkan mencuci tangan dengan air dan sabun selepas ada kontak dengan pesakit
  • Permukaan yang tercemar dan peralatan yang kotor hendaklah dicuci dengan air yang bersih, sabun dan di nyah kuman dengan menggunakan cecair Clorox, bancuhan ¼ cawan Clorox dengan satu gelen air
  • Jangan berkongsi barang-barang peribadi
  • Elak daripada mencium dan memeluk individu yang dijangkiti
Komplikasi

Komplikasi selalunya jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan jangkitan kepada otak, paru-paru dan jantung yang mana boleh menyebabkan kematian.

Apakah vaksin untuk penyakit tangan, kaki dan mulut?
Tiada vaksin untuk penyakit ini.

Bila perlu berjumpa doktor?
  • Apabila demam tinggi tidak sembuh walaupun diberi ubat (< 38 C) lebih 48 jam
  • Letih/lesu
  • Kulit dan lidah yang kering
  • Resah gelisah (irritable)
  • Sawan
  • hilang sedar
Jika jangkitan berlaku di taman asuhan kanak-kanak, pemilik taman asuhan perlu :-
  • Kanak-kanak tidak boleh dihantar ke taman asuhan semasa terjadinya jangkitan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari dan disahkan sihat oleh doktor. Memastikan semua kanak-kanak mengamalkan teknik mencuci tangan yang baik.
  • Basuh dan nyah kuman semua peralatan yang tercemar, alat-alat permainan dan juga permukaan seperti meja, kerusi dan lantai yang dicemari
  • Pastikan tidak ada kanak-kanak lain mempunyai gejala sama
Informasi boleh didapati melalui:
  • Pegawai perubatan /Pakar kanak-kanak
  • Klinik-klinik kesihatan
  • Laman web pengawalan dan pencegahan penyakit atau telefon no : 03-88833888
  • Familydoctor.org, kidshealth.org, health.am websites

1 comment: